AFC bagaimanapun tidak mengumumkan tarikh baharu perlawanan itu, yang sepatutnya berlangsung pada hujung bulan ini di Pyongyang.

Ditanya mengapa AFC menunda perlawanan kepada tarikh baharu dan tidak menukar gelanggang ke negara lain, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul berkata masa terlalu singkat untuk membolehkan pihaknya berbuat demikian.

 “Jawatankuasa Pertandingan AFC sebulat suara membuat keputusan untuk menunda perlawanan tersebut. Tarikh baharu perlawanan tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Bukan kami tidak mahu mengadakan perlawanan itu di venue berkecuali, tapi untuk melakukannya memerlukan proses dan masa. Sekarang masa yang ada cukup singkat dan itu adalah keputusan yang terbaik bagi kedua-dua belah pihak.

“Mengadakan perlawanan di venue berkecuali bukan bermaksud pasukan itu perlu memilih padang sahaja tapi banyak lagi proses yang perlu dilalui. Saya tidak tahu bila tarikh baharu perlawanan itu.

“Ketika ini kami sedang bekerjasama dengan kedua-dua pihak iaitu PRKFA, (Persatuan Bola Sepak Korea Utara) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia). Minggu depan kami akan mengadakan mesyuarat lagi untuk menentukan tarikh baharu perlawanan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Skuad negara dijadualkan bertemu Korea Utara di ibu negara mereka untuk pertemuan pertama Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019 pada 28 Mac ini, namun hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dengan Pyongyang yang genting ketika ini telah membuatkan kerajaan mengarahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menghantar Harimau Malaysia menyertai perlawanan itu.

Arahan kerajaan kepada FAM itu dikeluarkan selepas Korea Utara meghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara itu.

Hubungan diplomatik antara kedua-dua negara tegang ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin utama Korea Utara, di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.