Kekalahan itu menyebabkan mereka melepaskan takhta liga kepada musuh ketat, Real Madrid yang melakar kemenangan 2-1 ke atas Real Betis.

Tahun lalu, Barcelona mem­belasah Deportivo 8-0 di Riazor, sekali gus meletakkan mereka sebagai pilihan untuk memenangi perlawanan hari ini.

Namun, Enrique tidak menolak, pasukannya mungkin masih dibuai kejayaan membelasah PSG dalam saingan Eropah hingga memandang mudah cabaran Deportivo.

“Hanya orang yang berada dalam situasi ini akan faham apa yang berlaku tetapi sebagai pemain profesional mereka (pemain) sepatutnya tahu bagaimana hendak mengawal keadaan.

“Kami sedar perlawanan di Deportivo tidak akan mudah, namun saya akui, apa yang berlaku sebelum pertemuan ini telah mempengaruhi pasukan,” kata Enrique.

Beraksi tanpa beberapa tonggak yang membenam PSG, Barcelona kurang berbisa dan kekalahan itu menamatkan rekod 19 perlawanan berturut-turut tanpa kalah dalam saingan liga.

Joselu membuka jaringan tuan rumah pada minit ke-40, namun Luis Suarez me­nyamakan kedudukan seminit selepas babak ke­dua bersambung.

Ketika permai­nan memasuki minit ke-74, pemain tengah, Alex Bergantinos mengesahkan tiga mata milik Deportivo dengan meledak gol kemena­ngan.

Walaupun kecewa dengan kekalahan itu, namun Enrique menegaskan, pemainnya perlu kekal fokus untuk menghambat Real.

“Ia (tewas) sangat memalukan kerana kami perlu menang untuk terus mencabar. Apa pun, kami perlu terima kekalahan dan menumpukan kepada sai­ngan sete­rusnya,” ujarnya lagi.

Sementara itu, di Santiago Bernabeu, Sergio Ramos sekali lagi muncul wira Real apabila meledak gol kemenangan, sembilan minit sebelum tamat permainan.

Skuad Los Blancos terdahulu dikejutkan dengan gol pembukaan Antonio Sanabria pada minit ke-24.

Namun, empat minit sebelum tamat separuh masa pertama, Cristiano Ronaldo berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

Ketika permainan seperti akan berakhir dengan seri, Ramos meledak gol lewat permainan bagi membawa Real kembali ke puncak liga.

“Kami tidak memberi aksi terbaik hari ini, namun itu perkara biasa selepas anda beraksi dalam begitu banyak perlawanan. Apa yang penting adalah tiga mata,” kata pengurus Real, Zinedine Zidane.