Ketua Jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora sudah merencana strategi ampuh bagi mengutip tiga mata berharga di laman sendiri, sekali gus memastikan pelawat pulang dengan tangan kosong.
Melihatkan prestasi semasa JDT, Mora dapat rasakan kemenangan berada dalam genggaman sekiranya pemain memberikan persembahan terbaik esok.
“Harimau Selatan kini berada dalam prestasi terbaik dan pemain sentiasa mempamer corak permainan bertenaga pada setiap perlawanan.
“Saya percaya lawan pasti mempunyai helah tersendiri untuk menyekat hasrat JDT mengutip tiga mata pada perlawanan esok. Namun sekiranya pemain dapat menonjolkan mentaliti dan potensi sebenar, saya pasti Harimau Selatan kembali sebagai pendahulu Kumpulan F,” katanya dalam sidang akhbar Piala AFC di sini hari ini.
Dalam pada itu, kapten JDT, Safiq Rahim menuntut rakan sepasukan mempamer semangat juang tinggi untuk memastikan rekod tanpa kalah di Larkin berjaya dilebarkan.
Katanya, mereka perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah jika tidak mahu misi mengutip tiga mata musnah.
“Selepas melihat rakaman perlawanan Global FC, saya boleh katakan mereka adalah pasukan yang hebat.
“Mereka juga diperkuatkan dengan beberapa pemain skuad kebangsaan Filipina. Pastinya pertemuan esok amat getir buat JDT dan kita tidak boleh ambil mudah.
“Saya dan rakan pasukan berharap dapat mengekalkan rentak positif dan memanfaatkan peluang bermain di hadapan penyokong sendiri.
“Sekiranya semua pemain dapat jalankan tanggungjawab dengan baik dan mengikut taktikal diterapkan jurulatih, kami boleh mendapatkan keputusan baik,” katanya.