Dua tahun sebelum itu, pasukan Malaysia yang dipimpin bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris juga mencatat sejarah melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Jerman.
Pada 1980 pula, pasukan bola sepak negara di bawah kendalian jurulatih, Karl-Heinz Weigang sekali lagi menaikkan nama negara apabila melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Moscow. Bagaimanapun, Malaysia menarik diri kerana konflik antarabangsa.
Kini semuanya menjadi kenangan. Sebaik sahaja kita tercebur dalam liga profesional, ranking bola sepak kita semakin merudum.
Sudah 28 tahun liga bola sepak diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetapi pencapaian pasukan kebangsaan masih tidak ke mana-mana, paling tidak pun di rantau ASEAN. Itu pun naik turun. Juara sekali tetapi kalah yang banyak.
Umpamanya dalam kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) kita dimalukan dengan pasukan lemah seperti Myanmar.
Soalnya sekarang mampukah FAM mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak kita?
FAM akan mengadakan kongres tahunannya hujung minggu ini untuk memilih barisan baharu kepimpinannya.
FAM nampaknya terdesak dengan mempercepatkan tempoh pemilihan jawatankuasa baharu yang sebetulnya berlaku tahun depan berikutan peletakan jawatan mengejut Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Presiden badan induk itu.
Pada hal baginda baru sahaja menggantikan ayahanda baginda, Sultan Pahang pada pemilihan yang lepas iaitu 2014.
Menarik perhatian ialah pertarungan satu lawan satu antara Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa untuk jawatan Presiden dalam kongres itu nanti.
Atas kertas kelihatan TMJ lebih popular kerana kejayaan kelab JDT yang dipimpinnya berjaya mencatat sejarah muncul wakil pertama negara muncul juara piala Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) musim lalu.
JDT juga kelab yang disegani kerana sejak kebelakangan ini merangkul beberapa kejuaraan dalam liga bola sepak tempatan.
Tetapi, jangan ketepikan Annuar kerana beliau juga menjadi wira menaikkan nama pasukan bola sepak Kelantan hinggakan menjulang Piala Malaysia dan menjadi pasukan yang digeruni lawan suatu ketika.
Sebagai orang politik yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan yang bertanggungjawab membawa Sukan Komanwel ke Kuala Lumpur, saya percaya Annuar yang saya kenali juga barangkali mempunyai strategi, jika tidak masakan mahu terus bertanding.
Barang diingatkan dalam pengundian sulit macam-macam boleh jadi. Bagi saya siapa juga yang dipilih sebagai Presiden FAM, hala tuju bola sepak negara terletak di tangan mereka.
Soalnya mampukah presiden baharu FAM kelak membawa perubahan atau retorik semata-mata?
Ada yang bertanya, mampukah kita menaikkan semula bola sepak negara selepas pemilihan ini?
Kenapa negara-negara di benua Afrika yang jauh lebih miskin dan kurang maju mampu berjaya dalam bola sepak hingga sampai ke pusingan akhir Piala Dunia? Jawapan saya mudah, mereka memiliki pemain-pemain berkualiti kerana bermain di liga Eropah.
Setakat bermain dalam liga tempatan, jauh mutunya dibandingkan di pentas antarabangsa. Lagipun, ‘awang import’ yang dibawa masuk ke Malaysia juga kurang memberi saingan.
Soalnya sekarang mampukah kepemimpinan baharu yang akan dipilih pada 25 Mac ini mampu membawa perubahan? Atau kerusi presiden yang menjadi rebutan itu kembali lebih panas.
Secara gurau legenda bola sepak, Datuk Soh Chin Aun, pernah memberitahu saya; “Bola sepak bukan macam makan nasi.”
Untuk rekod Chin Aun, 67, yang masih aktif bermain bola sepak adalah satu-satunya pemain yang mewakili negara layak ke Sukan Olimpik di Jerman pada 1972 dan 1980, selain Sukan Asia 1974.
Barangkali ada baiknya diberikan KPI kepada barisan baharu FAM yang dipilih. Sudah tiba masanya kesemua jawatankuasa baharu FAM meletakkan jawatan sama ada di peringkat negeri atau kelab bagi menunjukkan komitmen dan tumpu masa sepenuhnya kepada kemajuan bola negara.
Apapun 39 perwakilan yang akan hadir wajar bijak membuat keputusan.
Saya percaya ramai peminat dan penyokong bola sepak menanti keputusan pemilihan Presiden FAM yang baharu dan juga barisan Exco yang lain dengan penuh debar. Harap-harap ada siaran lintas langsung oleh stesen televisyen tempatan.
Akhir kata, semoga bola sepak negara terus ke hadapan di pentas antarabangsa.
DATUK SERI DR. RAJA AHMAD ZAINUDDIN RAJA OMAR ialah bekas Naib Presiden FAM.