Ranieri membawa Leicester melakar sejarah merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim lalu, namun pengendali dari Itali itu dipecat selepas pasukannya mengharungi kempen yang buruk musim ini, malah berada dalam zon penyingkiran.

Media Britain melaporkan Vardy antara pemain senior yang mendesak agar Ranieri disingkirkan, namun penyerang England itu menafikan dakwaan tersebut, malah berang selepas dia dan keluarganya menjadi sasaran kemarahan peminat.

“Selepas berita itu tersiar, peminat mempercayainya tanpa ragu-ragu. Saya kemudian menerima ugutan bunuh, keluarga, anak-anak saya dan semuanya.

“Ugutan tersebut dibuat di media sosial, ketika saya berjalan…sebut sahaja di mana.

“Saya cuba untuk menerima keadaan itu, tetapi saya hilang sabar apabila mereka turut menganggu isteri saya, ketika dia sedang memandu bersama anak-anak dan perkara ini berlaku banyak kali. Ia sangat teruk,” kata Vardy kepada pemberita.

Vardy, yang menjadi watak penting ketika Leicester muncul juara Liga Perdana musim lalu sekali lagi menegaskan, dia tiada kena mengena dengan pemecatan Ranieri.

“Berita yang tersiar agak menyakitkan. Banyak tuduhan salah yang dilontarkan di luar sana dan tiada apa yang kami sebagai pemain boleh lakukan.

“Saya membaca berita yang mengatakan dia (Ranieri) dipecat sejurus selepas perlawanan menentang Sevilla (tewas 1-2 dalam aksi pertama, peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara). Laporan itu mengatakan saya terlibat secara langsung dalam pertemuan yang membawa kepada pemecatan tersebut, sedangkan ketika itu saya menjalani ujian anti-doping selama tiga jam. Ia sama sekali mengarut,” kata Vardy lagi.