Perlawanan bertukar menjadi pertarungan ‘ragbi’ ketika kedudukan terikat 1-1 pada minit ke-88 apabila penyokong merempuh kawalan keselamatan, dan salah seorang daripada mereka menerjah pertahanan Senegal, Lamine Gassama.

Pemain kedua-dua pasukan lari bertempiaran dan pengadil, Tony Chapron dari Perancis bertindak menghentikan perlawanan serta-merta.

Bintang tengah Liverpool, Sadio Mane meletakkan Se­negal di depan menerusi sepakan penalti pada awal babak kedua, namun Bi Gohi Cyriac berjaya menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.

Wartawan akhbar Perancis, L’Equipe, Herve Penot yang ber­ada di stadium menceritakan tentang detik cemas tersebut kepada BBC World Service, sambil menyifatkan situasi adalah ‘sangat serius’.

“Saya tidak kata penyokong bertindak ganas, ia lebih kepada mereka cuba untuk mendam­pingi para pemain.

“Namun anda tidak tahu apa boleh berlaku, ia bagaikan bencana dan tidak masuk akal.

“Selepas 20 hingga 30 minit babak kedua bermula, beberapa penyokong kelihatan berada di atas padang.

“Pengadil sukar hendak meneruskan permainan dan memberitahu kedua-dua pasukan, jika perkara itu terus berlaku dia terpaksa memberhentikan perlawanan. Keadaan sangat huru-hara,” kata Penot.

Media tempatan melaporkan, sekumpulan penyokong memanjat pagar penghadang di Stadium Charlety sebelum berlari ke dalam padang.

Ini adalah kali kedua dalam tempoh lima tahun perlawanan di antara dua negara tersebut terpaksa dibatalkan akibat gangguan penyokong.

Penyertaan Se­negal pada Piala Negara-Negara Afrika 2013 sebelum ini dibatalkan akibat rusuhan penyokong ketika beraksi dalam perlawanan playoff.

Selain Gassama, bintang-bintang Liga Perdana Inggeris yang berada di atas padang seperti Mane, Cyriac, Eric Bailly, Wilfried Zaha dan Idrissa Gueye turut menjadi sasaran penonton dalam perlawanan hari ini.