Tegasnya, setiap pasukan sentiasa berusaha untuk memastikan gaji dan kebajikan pemain masing-masing terjaga dan tindakan memotong mata liga mana-mana pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji bukan jalan penyelesaian terbaik.
“Tak usah terburu-buru wahai FAM…potong mata bukan jalan penyelesaian…kalau potong leher sekali pun. Bukan soal pasukan tak mahu bayar, tetapi kalau dah tiada wang dalam tangan (atas pelbagai sebab biasanya), ugutan tak selesaikan masalah.
“Untuk Kafa, saya yakin isu dua bulan gaji beres (selesai) sehari dua lagi sebaik sahaja sumbangan RM2 juta yang sudah diperoleh diterima oleh bank pembayar… tunggu cek diterima sahaja.
“Usah bimbang…bukan setakat gaji, tapi yang lain juga sedang kita bantu secara berperingkat… insya-Allah,” katanya menerusi Facebook di sini hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail menyokong hasrat Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP) untuk melaksanakan hukuman penolakan mata kepada mana-mana pasukan Liga Malaysia yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia hari ini melaporkan Kelantan berdepan dengan risiko kehilangan beberapa pemain utama apabila pintu perpindahan pemain pada Mei ini dibuka sekiranya Kafa gagal menyelesaikan isu tunggakan.
Sumber mendedahkan, Kafa telah mendapat maklumat bahawa beberapa pemain utama mereka mungkin meninggalkan pasukan itu dan kini sedang dalam proses berunding dengan beberapa pasukan dalam Liga Super.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam masih belum dapat memberi sebarang kata putus sama ada hukuman pemotongan mata atau tidak kepada enam pasukan Liga Malaysia yang gagal melunaskan tunggakan gaji pemain mereka akan dikuatkuasakan.
Kevin berkata, beliau akan memberi jawapan dalam masa terdekat selepas mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara tersebut.
“Maaf, saya tidak boleh memberi sebarang jawapan buat masa ini kepada anda (wartawan), tunggu selepas mesyuarat dan saya akan beri jawapan dalam masa terdekat,” katanya apabila dihubungi.
Kevin sebelum ini berkata akan mengeluarkan kenyataan pada hari ini sama ada hukuman memotong mata ke atas pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji pemain akan dikuatkuasakan segera.