Jaringan Muhammad Syahid Zaidon, Hadin Azman dan Fazrul Hazli pada minit keenam, 65 serta 76 sudah cukup untuk memulihkan semangat The Fighters yang sebelum ini hanya mengutip dua mata dan menghuni tangga tercorot.
Syahid menceriakan Felda United apabila melepaskan rembatan kencang dari luar petak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Roland Muller selepas menerima hantaran Hadin.
Skuad bimbingan B. Sathianathan itu sepatutnya mampu berpesta sehingga enam gol sekiranya tiga lagi peluang yang tehidang di depan pintu gol Ceres Negros dapat dimanfaatkan oleh Wan Amirul Afiq, Gaston Cellerino dan Zah Rahan Krangar.
Wan Amirul gagal menerusi sepakan bebas pada minit ke-28, Cellerino pula melepaskan peluang minit ke-30 manakala sepakan kaki kiri kapten United, Krangar tersasar ke sebelah kiri ketika cuma berdepan Muller.
Babak kedua menyaksikan Ceres Negros yang dibimbing Risto Vidakovic meningkatkan asakan dalam usaha mencari gol penyamaan.
Namun begitu, tuan rumah sebaliknya selesa dengan gol kedua menerusi rembatan kencang pemain tengah, Hadin yang mendapat hantaran dari sebelah kiri.
Semangat pelawat kian luntur apabila The Fighters menambah gol ketiga hasil sepakan sudut dari sebelah kanan yang gagal ditangkap kemas Muller lantas disambar pantas dengan kuisan kaki Fazrul yang masuk menggantikan Hadin.
“Saya gembira pasukan dapat bertindak balas baik hasil sesi latihan baru-baru ini.
“Saya dan pemain kini amat mengidam untuk ke pusingan kedua kelak tetapi yang sedikit kurang memuaskan hati saya ialah disiplin permainan kami,” kata Sathianathan.
Kemenangan melonjakkan Felda ke tangga kedua dengan lima mata.
“Gol kedua membunuh kami. Dua gol dalam tempoh singkat memang menyukarkan. Inilah bola sepak, anda boleh ramal tetapi keputusan akan jadi sebaliknya,” ujar Vidakovic pula.