Tindakan tersebut diumumkan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang turut mendedahkan gaji yang diminta pengendali dari Argentina itu hampir sekali ganda daripada yang ditawarkan badan induk bola sepak negara.
Malah, sejurus Tunku Ismail membatalkan hasrat mengambil Gomez, spekulasi bertiup kencang mengatakan seorang lagi bekas pengendali JDT, Bojan Hodak menjadi calon baharu bagi mengisi kerusi panas yang ditinggalkan Datuk Ong Kim Swee, selain pengendali bawah 23 tahun Australia, Josep Gombau.
Tunku Ismail dalam kenyataan akhbar hari ini mendedahkan, Gomez meminta gaji AS$45,000 (RM199,640) berbanding AS$25,000 (RM111,000) yang ditawarkan.
Justeru katanya, FAM hanya akan mencari jurulatih yang benar-benar berminat membimbing skuad kebangsaan.
“Saya dimaklumkan Mario Gomez menafikan bahawa beliau meminta gaji yang tinggi. Kami menawarkan AS$25,000 kepadanya tetapi beliau meminta AS$45,000.
“Adakah itu bukan meminta lebih daripada apa yang kami tawarkan? Tidak mengapalah. Kami akan cari individu lain yang betul-betul mahu menjadi jurulatih Malaysia,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Mengenai pemilihan Tan Cheng Hoe sebagai penolong jurulatih pula, Tunku Ismail menjelaskan jurulatih dari Kedah itu dipilih kerana FAM telah menetapkan polisi yang mana setiap jurulatih luar perlu dibantu jurulatih tempatan terbaik.
“Saya sudah menetapkan polisi yang mana setiap jurulatih luar perlu dibantu jurulatih anak tempatan. Bukankah Tan Cheng Hoe sekarang adalah jurulatih anak tempatan yang bagus?.
“Saya sedang melakukan kerjasama terbaik untuk skuad kebangsaan tetapi penyokong semua bising kata ‘jangan ambil dia lah’, ‘pilih orang lain lah’.
“Kami telah memulakan projek ini dan minta beberapa nama dipilih, dan Tan Cheng Ho tersenarai kerana dilihat sebagai jurulatih terbaik buat masa sekarang,” ujarnya.