Samseng bola sepak menganggu perlawanan itu apabila penyokong Besiktas yang duduk di bahagian paling atas stadium bertindak membaling mercun dan objek ke arah penonton tuan rumah yang berada di bahagian bawah.
Bagaimanapun, penyokong pasukan pelawat turut diserang samseng bola sepak Perancis, yang bertindak memecah masuk dengan menggunakan senjata.
Segelintir penyokong Besiktas melarikan diri untuk tujuan keselamatan, sementara yang lain terjebak dalam pengaduhan.
Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas terpaksa masuk ke padang untuk menenangkan keadaan bagi membolehkan perlawanan disambung semula.
Perlawanan tergendala selama 45 minit sebelum disambung selepas keadaan benar-benar terkawal.
Lyon memenangi saingan 2-1 hasil jaringan Corentin Tolisso dan Jeremy Morel manakala gol tunggal Besiktas disempurnakan oleh Ryan Babel.
“Saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan selepas ini, mungkin beraksi di stadium tertutup atau gelanggang berkecuali.
“Bagaimanapun, ia sangat merbahaya buat kami untuk berdepan penyokong yang sama dalam aksi timbal balik.
“Pada masa sekarang kami tidak pasti bagaimana perkara ini boleh berlaku,” kata Aulas.
Lyon akan bertandang ke Turki untuk saingan suku akhir ke-dua, Khamis depan.
Awal minggu ini, pegawai Lyon dipaksa memohon maaf akibat salah faham terhadap penjualan tiket, yang menyaksikan satu pertiga daripada kapasiti stadium yang memiliki 60,000 tempat duduk menjadi milik peminat Besiktas.
Isnin lalu, Aulas menggesa penyokong Lyon supaya teguh di belakang pasukan mereka dan berkata: “Kami bukan sahaja bakal berdepan lawan yang kuat, malah penyokong mereka akan membanjiri stadium”.
Bagaimanapun, tiada siapa menduga insiden buruk akan berlaku di tempat duduk penonton.
Ribuan penyokong tuan rumah dan pasukan lawan dari tempat duduk bahagian bawah terpaksa memasuki padang untuk mendapat perlindungan, setelah khuatir dengan keselamatan mereka.