Dengan hanya tujuh baki perlawanan, Chelsea tidak boleh melakukan kesilapan kerana mereka diekori rapat oleh Tottenham yang kini ber­ada di anak tangga kedua.

Skuad kendalian Antonio Conte memiliki kelebihan tujuh mata namun Tottenham dilihat menjadi satu-satunya pasukan yang mampu mencabar kedudukan The Blues sekiranya mereka menumpaskan Bournemouth dalam aksi liga di White Hart Lane esok.

Keadaan tersebut membuatkan Alonso mengakui tekanan semakin menghantui Chelsea yang bakal bertandang ke Old Trafford untuk menghadapi United yang sudah bersedia dengan misi membalas dendam.

Bekas pengurus Chelsea yang kini bersama United, Jose Mourinho terpaksa menanggung malu apabila me­nyaksikan Red Devils di­belasah 4-0 pada Oktober lalu sebelum tumpas 1-0 dalam suku akhir Piala FA Mac lalu.

United yang kini berada di anak tangga kelima, empat mata di belakang Manchester City dan sedang berusaha untuk mendapatkan slot automatik ke saingan Liga Juara-juara, tidak pernah tewas dalam 21 perlawanan liga sebelum mengalami kekalahan pertama kepada Chelsea pada musim ini.

“Perlawanan pada kali ini lebih sukar. Mereka merupakan salah satu pasukan terbaik di England, tidak boleh dinafikan.

“Saya menjangkakan pertemuan kali ini tidak boleh diambil mudah walaupun kami sudah mencatat dua kemenangan ke atas mereka. Mereka pasti berusaha le­bih gigih dan cuba untuk menewaskan kami,” kata Alonso.

Sementara itu skuad kendalian Pochettino, Spurs telah melakar enam kemenangan berturut-turut sekali gus menghidupkan peluang untuk merangkul kejuaraan EPL buat kali pertama sejak 1961, selain berada di atas musuh tradisi Arsenal.

“Saya fikir kami bermain dan berjuang untuk perkara yang lebih besar. Matlamat utama adalah untuk mengurangkan perbezaan mata dengan Chelsea. Saya fikir hari ini tidak penting untuk memikirkan kelebihan mata yang kami ada ke atas Arsenal,” kata Pochettino.