Kejuaraan menjadi milik Sport Recife, pasukan yang lebih banyak bersaing untuk menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran berbanding merebut gelaran.

Tiga dekad selepas perlawanan, lima panel Mahkamah Tinggi hari ini memberikan kemenangan kepada Sport Recife menerusi keputusan 3-1.

Perbalahan mengenai siapa berhak dinobat sebagai juara bermula selepas Flamengo menjuarai liga yang dibentuk oleh kelab-kelab terlibat.

Bagaimanapun Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) memutuskan untuk menganjurkan pertandingan berasingan, yang dimenangi oleh Sport Recife. CBF cuba memujuk Flamengo beraksi menentang Sport Recife dalam perlawanan akhir tetapi tawaran mereka ditolak.

Seandainya keputusan gagal dicapai hari ini, kes berkenaan akan terus dibicarakan di Mahkamah Agung melibatkan maksimum 11 panel.

“Bola sepak adalah tentang keghairahan dan sebaiknya keputusan melibatkan sukan tidak ditentukan di mahkamah,” kata Rosa Maria Weber, Hakim Mahkamah Agung yang menjadi salah seorang panel perbicaraan.

Sementara itu, seorang lagi panel, Marco Aurelio Mello yang juga penyokong Flamengo berkata, kelab berkenaan tidak perlu membuat rayuan.

“Ini adalah keputusan akhir,” kata Mello.

Luis Roberto Barroso, seorang lagi anggota panel yang juga penyokong Flamengo berkata: “Tiada perkara yang lebih teruk berbanding sistem pengadilan digunakan untuk membincangkan tentang sukan”.

Sejurus selepas keputusan diumumkan, Barroso berkata: “Keputusan ini meremukkan hati 40 juta peminat.”

Mello kemudian menambah: “Termasuk saya”.

Flamengo, pasukan paling popular di Brazil yang telah merangkul banyak kejuaraan kelihatan tidak begitu terkesan dengan keputusan mahkamah, namun Sport Recife sebaliknya begitu teruja dan mengumumkan mengenai kemenangan mereka dalam laman web rasmi kelab.

“Gelaran 87 sama sekali milik kita,” tulis Recife.