JOHOR BAHRU 21 April – Kira-kira 500 penyokong Johor Darul Takzim (JDT) beratur panjang mengelilingi pekarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini pagi ini bagi mendapatkan tiket perlawanan menyaksikan aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Pahang, Ahad ini.
Tinjauan Utusan Malaysia stadium pukul 9 pagi tadi mendapati, peminat setia Harimau Selatan sanggup berbaris sejak awal pagi untuk membeli tiket menyaksikan pertembungan sengit tersebut.
M.Karthik, 28, yang bertolak dari Segamat dengan menaiki motosikal bersama-sama rakannya pukul 12 malam tadi tiba di stadium kira-kira pukul 3 pagi bagi mendapatkan tiket perlawanan menyaksikan pasukan kegemarannya beraksi secara langsung.
“Ketika saya tiba di stadium pukul 3 pagi, dianggarkan seramai 50 orang sudah menunggu kaunter dibuka. Saya teruja untuk menyaksikan perlawanan ini secara langsung dan sanggup datang dari jauh untuk menyatakan sokongan padu kepada JDT,” katanya kepada pemberita di sini sebentar tadi.
Keadaan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos yang diawasi pihak marshal berada dalam keadaan terkawal semasa peminat JDT menunggu kaunter dibuka pukul 9 pagi bagi membeli tiket yang dihadkan dua keping setiap seorang.
Kaunter penjualan tiket yang dibuka dua hari sebelum perlawanan berlangsung menjadikan situasi terkawal selain penyokong boleh melakukan pembelian secara atas talian.