Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman membenarkan lelaki tersebut yang diwa­kili peguam Ridha Abdah Subri, dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 berserta tiga penjamin setelah dia direman selama tujuh hari mulai 15 April lalu.

Selepas selesai prosiding, bekas pemain berusia 43 tahun itu dilihat tersenyum sebaik sahaja keluar dari bilik mahkamah sebelum memeluk serta mencium ahli keluarganya yang turut berada di mahkamah tersebut.

Dia sebelum ini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 kerana disyaki terlibat mengatur perlawanan melibatkan pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Terdahulu, lelaki itu yang pernah bermain untuk pasukan Selangor dan Negeri Sembilan tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.30 pagi dengan memakai seluar jeans dan baju T berwarna putih serta tangan bergari sambil diiringi pegawai SPRM.

Dia ditahan semasa hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM pada 14 April lalu selepas diminta berbuat demikian bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut ekoran penahanan tiga pemain kelab MISC-MIFA dan seorang bookie.

Sebelum ini, tiga pemain dan seorang bookie yang disyaki terlibat dengan kes tersebut turut dibebaskan oleh Mahkamah Majistret dengan jaminan SPRM.