Dengan mengetepikan pencabar yang terdiri daripada penyerang seperti Harry Kane dari Tottenham Hotspur dan Romelu Lukaku dari Everton, Kante, 26, menerima penghargaan tertinggi bola sepak di England dengan perasaan yang tidak dapat digambarkannya.

“Dipilih sebagai pemain terbaik memberi makna yang cukup besar kepada saya. Ini bermakna anda adalah antara pemain yang terpilih di dunia. Dua musim yang menarik buat saya iaitu ketika bersama Leicester (muncul juara liga musim lalu) dan bersama Chelsea sekarang.

“Muncul sebagai pemain terbaik merupakan satu penghargaan yang tidak ternilai harganya,” kata Kante yang kini di ambang untuk menjadi pemain pertama berjaya mengecapi kejuaraan liga untuk tahun kedua berturut-turut bersama dua kelab berbeza.

Kejayaan itu akan menjadi kenyataan jika Chelsea muncul juara Liga Perdana Inggeris musim ini yang berbaki enam perlawanan sahaja lagi.

Kante yang turut berpeluang memenangi satu lagi trofi musim ini apabila Chelsea berjaya ke final Piala FA menentang Arsenal berkata, seperti Claudio Ranieri yang membimbing Leicester, faktor kejayaan Chelsea adalah kerana kebijaksanaan pengurus pasukan Antonia Conte yang berjaya membentuk mentaliti pemain dengan baik sekali.

“Dia (Conte) tahu apa yang dimahukannya daripada pemain, Dia berjaya membentuk mentaliti untuk menang dan kami sebagai pemain akan bekerja keras mengikuti perancangannya ketika berlatih. Semua pemain didorong untuk memberi yang terbaik bagi membolehkan Chelsea muncul juara liga,” tegas pemain tengah antarabangsa Perancis itu.