Sebaliknya bintang veteran Sweden itu menegaskan, dia akan kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan serius di bahagian ligamen lutut yang menimpanya ketika membantu United menewaskan Anderlecht dalam suku akhir Liga Europa minggu lalu.

Untuk menafikan kariernya sudah berakhir, pemain berusia 35 tahun itu menyiarkan gambar kecederaan yang dialami menerusi Intagram bersama satu mesej jelas kepada pembawa berita palsu tersebut.

“Pertama sekali saya hendak ucapkan terima kasih kepada segala sokongan dan mereka yang mengambil berat mengenai diri saya. Ada berita saya cedera. Jadi saya cuma terpaksa melupakan bola sepak untuk seketika.

“Saya akan melalui semua ini seperti kecederaan sebelum ini dan akan kembali dengan lebih kuat lagi. Setakat ini hanya sebelah kaki saya sahaja yang boleh bermain. Apa yang pasti saya sendiri akan tentukan bila saya mahu berhenti bermain dan bukannya orang lain. Gantung but bukan menjadi pilihan saya ketika ini,” katanya.

Dengan keazaman tinggi yang ditunjukkan itu, Ibrahimovic masih mahu terus bermain untuk United termasuk jika layak ke Liga Juara-juara musim depan.