Kemenangan tersebut membolehkan Newcastle mengesahkan tempat sebagai dua pasukan terbaik Liga Kejuaraan musim ini.
Sebelum ini pengurus Liverpool, Chelsea dan Real Madrid itu berpegang dengan pendirian untuk kekal membimbing Newcastle biarpun kelab berkenaan tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Bagi Benitez, 57, pencapaian The Magpies itu adalah satu kepuasan buatnya selain berharap kelab itu dapat meraih pencapaian positif dalam Liga Perdana Inggeris musim depan.
“Saya berpendapat banyak yang perlu dianalisis namun saya amat bangga berada di kelab ini.
“Diharap kami mampu melakukan lebih baik dan menjadi pasukan kuat dalam Liga Perdana Inggeris,” katanya selepas perlawanan.
Empat gol Newcastle diraih menerusi Ayoze Perez seawal minit keenam dan ke-67, Christian Atsu (minit ke-45), penalti Matt Ritchie (minit ke-65) manakala gol Preston dijaringkan Jordan Hugill pada minit ke-14.
Dalam pada itu, Benitez berkata, persaingan dalam Liga Kejuaraan amat mencabar kerana semua pasukan mempamerkan aksi di luar jangkaan.
“Semuanya bukan mudah.
“Anda perlu melihat apa yang kebanyakan pasukan dalam liga ini mahu lakukan.
“Kami bertarung dari awal dan kadangkala mempamerkan corak permainan yang bagus dan kadangkala tidak namun akhirnya kami berjaya berada di atas,” katanya.