Arsenal hidup peluang ke Liga Juara-Juara

By
Updated: April 27, 2017

LONDON 27 April – Arsenal berjaya menghidupkan semula peluang untuk beraksi di Liga Juara-Juara buat tahun ke-20 berturut-turut selepas menundukkan juara bertahan Liga Perdana Inggeris Leicester 1-0 di laman sendiri, awal pagi tadi.

Kejayaan itu menyaksikan skuad kendalian Arsene Wenger berjaya merekodkan empat kemenangan daripada lima perlawanan terakhir dan menguasai hampir keseluruhan babak pertama.

Dalam aksi di Stadium Emirates itu, penjaga gawang Leicester, Kasper Schmeichel menafikan percubaan Theo Walcott sebelum rembatan Alexis Sanchez terkena palang.
Akhirnya usaha Arsenal berjaya apabila percubaan Nacho Monreal pada minit ke-86 menyaksikan Robert Huth melakukan kesilapan tertampan bola masuk ke gawang sendiri sekali gus menceriakan skuad Arsenal selepas meraih tiga mata berharga.

Keputusan itu meletakkan Arsenal kini empat mata di belakang kedudukan keempat yang menjanjikan slot ke Liga Juara-Juara.