Laporan mengaitkan Gerrard yang kembali ke akademi Liverpool selaku jurulatih, Februari lalu dengan skuad B-18 timbul sejak awal bulan ini dengan pengendali skuad utama, Jurgen Klopp, turut mengesahkan bekas pemain itu akan memainkan watak penting musim depan.

The Reds kini mengumumkan bahawa bekas pemain berusia 36 tahun itu yang meledak 186 gol dalam 710 penampilan akan diberikan kuasa sepenuhnya ke atas skuad muda tersebut.

 Gerrard menggantikan Neil Critchley, yang kini beralih ke skuad bawah 23 tahun.

“Saya sangat menikmati masa di akademi dan banyak perkara yang telah saya pelajari di sini.

“Selepas bercakap dengan Alex Inglethorpe (pengarah akademi), sudah tiba masa untuk saya mengendalikan pasukan saya sendiri.

“Neil telah melakukan tugas dengan baik bersama skuad B-18, jadi saya berharap dapat menyambung tugasannya dalam membentuk pemain untuk dihantar ke skuad B-23 sebelum menyertai skuad utama.” kata Gerrard.

Sementara itu, Gerrard mendedahkan Klopp memainkan peranan penting terutama dalam menerapkan mentaliti yang kuat dalam kalangan pemain muda, sekaligus mengetepikan mentaliti ‘suka menunjuk-nunjuk’.

“Saya bercakap dengan Jurgen (Kloop) dan kami bersetuju bahawa skuad B-18 adalah kumpulan umur yang sesuai kerana kami masih mendapat sedikit perhatian.

“Ia medan di mana pemain masih dibenarkan membuat kesilapan untuk menajamkan teknik mereka.

“Setiap pengurus dan jurulatih saya pernah berkata bahawa saya akan membuat banyak kesilapan tetapi tugas utama supaya tidak mendapat perhatian media. Saya juga mendapat tawaran daripada MK Dons tetapi belum bersedia. Saya mahu mempersiapkan pemain bagi menghadapi karier yang lebih panjang,”