Chelsea terus menjarakkan diri apabila menumpaskan Everton semalam namun Spurs optimis mampu mengatasi The Blues selepas kejayaan menewaskan Arsenal 2-0, ketinggalan empat mata di belakang pendahulu.

Spurs berpeluang untuk mengurangkan jurang perbezaan mata jika mereka melakar kemenangan ke atas West Ham, Jumaat ini sekali gus meletakkan Chelsea dalam tekanan apabila tiga hari seterusnya mereka bertemu Middlesbrough di Stamford Bridge.

“Kami dalam perebutan juara liga. Kami mahu mendekatkan diri dengan Chelsea dan itu adalah fokus kami sekarang sebab kami ada perlawanan yang penting Jumaat ini menentang West Ham,” kata Pochettino kepada pemberita selepas perlawanan di White Hart Lane semalam.

Ketika ditanya sama ada psikologi pemain akan meningkat dalam perebutan kejuaraan EPL sekiranya Spurs mencatat kemenangan di Stadium London Jumaat ini, Pochettino berkata, “Mungkin. Kita akan tengok nanti.

“Kami ada peluang untuk melakukannya sebelum mereka (Chelsea) dan jika berjaya mencatat kemenangan ke atas West Ham, bakal menjadi pertembungan derby yang sengit, kita akan lihat apa yang berlaku dengan mereka menentang Middlesbrough,” katanya.

Kejayaan menewaskan Arsenal merupakan kemenangan yang sempurna dalam pertembungan derby utara London yang terakhir di White Hart Lane pada musim ini apabila gelanggang keramat itu bakal diruntuhkan untuk memberi laluan kepada pembinaan stadium baharu dengan kapasiti 61,000 tempat duduk.

Dalam pertemuan menentang The Gunners, Dele Alli memecah kebuntuan pada minit ke-55 yang berpunca daripada gerakan Christian Eriksen sebelum Harry Kane menyempurnakan penalti tiga minit kemudian.

Itu merupakan kemenangan Spurs yang kesembilan berturut-turut, yang ke-13 di laman sendiri malah hampir pasti menamatkan kempen liga pada musim ini di depan Arsenal buat pertama kali sejak 1995.

Secara peribadi Pochettino mengakui dia kecewa kerana Spurs gagal untuk mengatasi Chelsea namun selepas melihat persembahan anak-anak buahnya, tiada apa yang boleh diminta oleh pengendali dari Argentina itu.

“Kami kurang empat mata dan ada empat lagi perlawanan. Semuanya boleh berlaku dalam bola sepak. Kita akan lihat apa yang berlaku pada minggu depan,” katanya.