Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa yang merupakan pengkritik kuat kepada hukuman yang dilaksanakan oleh penyelia Liga Malaysia, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) itu, berkata beliau telah meminta Kafa melantik peguam untuk meneliti perkara itu, terutama isu berkaitan pendaftaran pemain baharu menerusi saluran undang-undang.
Menurut Annuar, hukuman dibuat oleh FMLLP tersebut secara jelas bersifat tidak adil kerana memilih pasukan tertentu sahaja selain mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan pasukan Kelantan.
“Kafa akan lawan, saya sudah beritahu Kafa supaya lantik peguam dan lawan. Sanna Nyasi akan tetap didaftarkan sebagai pemain baharu menggantikan Alessandro Celin.
“Kalau kita boleh buktikan semua menepati peraturan namun Kelantan masih dihalang daripada mendaftar pemain baharu, kita akan bawa FMLLP ke mahkamah,” katanya di sini hari ini.
Pasukan Kelantan ditimpa malang berganda apabila mereka bukan sahaja dipotong enam mata perlawanan Liga Super malah dilarang mendapatkan pemain baharu apabila pintu perpindahan dibuka 15 Mei nanti.
Tindakan tersebut diputuskan oleh FMLLP kerana pengurusan skuad The Red Warriors (TRW) didapati gagal menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji pemain mereka.
Mengulas perkara itu, Annuar berkata, jika isu hutang menyebabkan Kelantan dihukum, Liga M wajar dibubarkan kerana banyak pasukan lain patut dikenakan tindakan sama kerana turut berhutang.
“Jika mereka sentuh soal hutang, S. Subramaniam yang kini beraksi dengan Kelantan mengadu dia belum menerima bayaran enam bulan gaji daripada bekas majikannya iaitu Selangor, kenapa tidak ada tindakan.
“Ketika saya dalam FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), FAM pun ada hutang. Sampai hari ini pun FAM masih ada hutang. FMLLP pun sama. Jadi memang patut FAM berhenti anjur Liga M sehingga semua hutangnya selesai,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kelantan tidak sepatutnya dihalang mengambil pemain baharu kerana pihak yang membawa masuk pemain tersebut ialah Al-Hamra Group iaitu penaja utama TRW, bukan Kafa sendiri.
Katanya, dalam sukan bola sepak, terdapat peraturan ‘sporting just cause’ yang membolehkan pasukan menamatkan kontrak pemain yang sudah terlalu lama tidak dapat beraksi agar pasukan berkenaan tidak menanggung kerugian.
“Ikut kontrak, kita perlu beri satu bulan notis dan pampasan selama dua bulan kepada Celin. Dia sudah pun terima dan ejen yang sama bersetuju menggantikan dia dengan pemain lain tanpa kos tambahan. Kenapa jadi isu? Lain kali tanyalah dulu.
“Ini semua sebab ada niat jahat terhadap Kelantan. Sebelum ini ada orang hantar surat kepada Kafa mahu dapatkan Mohammed Ghaddar namun kita tidak benarkan. Mungkin ada orang sudah mula main politik,” dakwa beliau.