Ketua jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan mengakui bayangan awal pemain yang dikehendakinya telah ada.
“Saya mencari pemain tengah dan penyerang. Pilihan utama adalah di tengah dan kita yakin dapat mengesan pemain yang mampu membantu T-Team,” katanya kepada pemberita.
Namun Rahmad berkata, keputusan itu hanya akan dibuat setelah meneliti beberapa faktor termasuk penilaian keseluruhan pemain dan kos.
Beliau berkata, setakat ini kesemua barisan pemain yang ada termasuk pemain import berada dalam tahap terbaik dan menunjukkan prestasi yang membanggakan.
Bagaimanapun, jurulatih yang berasal dari Indonesia itu berkata, ia bukan tiket dan jaminan untuk mereka terus berpuas hati serta selesa sebaliknya perlu meneruskan rentak yang cemerlang bagi menyelamatkan pasukan.
Sebagai rekod, T-Team kini menghuni tangga ketujuh Liga Super dengan mengumpul 13 mata menerusi 12 perlawanan selepas enam mata terpaksa dipotong baru-baru ini.