AFC membuat ketetapan bahawa venue perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 di antara Malaysia menentang Korea Utara pada 8 Jun ini kekal di Pyongyang walaupun sebelum ini mendapat bantahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berkata seandainya dipilih untuk menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan tersebut dia mengakui rasa bimbang tetap bermain dalam fikirannya.
“Kalau ikut kepada keadaan memang patut main di tempat lain. Saya lagi setuju jika beraksi di venue lain. Ini disebabkan kita tidak tahu apa yang akan berlaku jika kita bermain di sana (Pyongyang) nanti.
“Bagaimanapun, keputusan sudah dibuat. Saya mengakui berasa bimbang. Jika saya dipilih untuk menyertai skuad kebangsaan bagi perlawanan tersebut saya perlu fokus dan tidak terlalu memikirkannya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas mengenai pemilihan skuad kebangsaan yang ketika ini masih belum diketahui siapa yang bakal membimbing Harimau Malaya, Hafizul Hakim berharap dapat memikat perhatian jurulatih baharu kelak.
“Saya fikir pemilihan pemain pasukan kebangsaan yang seterusnya pasti sukar. Tambahan pula, ketika ini jurulatih pasukan kebangsaan masih belum diketahui. Berdasarkan statistik, saya kerap dibolosi lawan namun itu tidak bermakna saya tidak mahu merebut peluang,” katanya.
Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Ahmad Hazwan Bakri pula berkata dia tidak mahu membiarkan rasa bimbang bermain di Pyongyang menghantui fikirannya sebaliknya mahu fokus kepada perlawanan itu jika dipilih kelak.
“Terima sahajalah keputusan itu. Perasaan bimbang itu tetap ada tetapi saya tidak mahu menjejaskan fokus. Tugas kami adalah memberi tumpuan sepenuhnya di atas padang.
“Saya perlu mengekalkan prestasi semasa. Saya sudah menjaringkan tiga gol dalam liga dan satu dalam Piala FA. Saya baru pulih daripada kecederaan di buku lali kanan,” katanya.
AFC dalam kenyataan di laman web rasmi mereka berkata, perlawanan pusingan akhir kelayakan Kumpulan B itu akan diadakan di Pyongyang selepas FAM mengesahkan kerajaan Malaysia tidak mengenakan sebarang sekatan perjalanan terhadap warganegaranya untuk ke Korea Utara.