Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan tidak akan membantah keputusan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mengekalkan venue asal perlawanan itu walaupun sebelum ini pernah mendesak pertemuan itu diadakan di gelanggang berkecuali.
Katanya, kerajaan bersetuju dengan keputusan AFC itu memandangkan Korea Utara telah memberi jaminan keselamatan kepada Malaysia.
“Kita tidak ada apa-apa larangan untuk skuad negara terbang ke sana (Pyongyang). Cuma kita harap pihak Korea Utara boleh memberi jaminan keselamatan terhadap pasukan negara kita.
“Ini kerana ketegangan (diplomatik) yang wujud bukan hanya antara Malaysia dan Korea Utara sahaja, yang mana saya rasa telah diselesaikan, tetapi Korea Utara juga menghadapi pelbagai isu membabitkan dunia luar.
“Jadi kita harap pasukan kita akan selamat dan dapat melangsungkan perlawanan mereka seterusnya kembali ke Malaysia dengan selamat.
“Pada saya jaminan itu penting sebab apabila AFC sudah membuat keputusan, kita perlu akur dengannya,” kata Khairy ketika diminta mengulas perkembangan terbaharu itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan majlis kiraan detik 100 hari menjelang Sukan SEA 2017 di KL Sentral di sini hari ini.
Lokasi perlawanan Malaysia dengan Korea Utara mula menjadi isu apabila hubungan diplomatik kedua-dua negara menjadi tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.