Salah seorangnya, Mohd. Sofi Lan, 27, berkata, dia bersama tiga rakannya berbuat demikian kerana tidak mahu terlepas peluang menyaksikan perlawanan akhir tersebut.
“Sejak dari pukul 8 malam semalam kami duduk beratur di kaunter ini… tidur pun di atas simen ini saja. Ini kami lakukan kerana tidak mahu terlepas memberi sokongan kepada Lang Merah,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Sofi dari Kubur Panjang, Pendang itu antara ribuan penyokong Kedah yang membanjiri Stadium Darul Aman, di sini hari ini untuk mendapatkan tiket perlawanan akhir yang mula dibuka pukul 10 pagi.
Sementara itu, pelari solo warga emas, Nasir Abbas, 62, yang ditemui memberitahu dia akan membuat larian dari Shah Alam, Selangor ke Alor Setar jika pasukan Lang Merah berjaya menjulang Piala FA selepas sembilan tahun gagal melakukannya.
“Saya berhasrat untuk membuat larian buat kali ketiga sekiranya Kedah menang. Larian mungkin mengambil masa selama enam hari dan sekiranya tidak sempat saya mungkin akan meneruskan larian pada bulan puasa,” ujarnya selepas membeli tiket.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Shaharol Niza Omar, sebanyak 12,000 tiket dijual di empat kaunter yang setakat kini masih berbaki 4,000.