LONDON 19 Mei – Walaupun Chelsea dan Tottenham sudah mengesahkan kedudukan dua terbaik, namun kemuncak Liga Perdana Inggeris hanya tiba pada hari terakhir, Ahad ini apabila Manchester City, Liverpool serta Arsenal bersaing untuk melengkapkan kelompok empat teratas.
Hari terakhir Liga Perdana bakal menentukan dua lagi wakil England yang akan mengiringi Chelsea dan Tottenham untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara, musim depan.
Jika ketiga-tiga pasukan memenangi perlawanan masing-masing, maka tiket kejohanan elit Eropah itu menjadi milik City dan Liverpool, namun kekalahan buat Liverpool atau Arsenal bakal mengundang padah dan City hanya perlu seri untuk mengesahkan tempat.
Selepas 75 perlawanan, City kini menghuni tangga ketiga dengan 75 mata, malah memiliki kelebihan dalam perbezaan gol iaitu 36.
Liverpool di tempat keempat menerusi 73 mata dan 33 perbezaan gol, diikuti Arsenal 72 mata dan 31 perbezaan gol.
City akan bertandang ke Watford, kelab yang baru memecat pengurus mereka, Walter Mazzarri, minggu ini.
Skuad The Citizens menang 2-0 dalam pertemuan pertama mereka di Etihad dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk melakar kemenangan di Vicarage Road.
Tidak kira sama ada menamatkan kempen di tangga ketiga atau keempat, musim ini sudah dianggap amat mengecewakan buat pengendali baharu mereka, Pep Guardiola yang melakar ‘rekod’ apabila buat kali pertama dalam kariernya menutup saingan tanpa sebarang trofi.
Liverpool tampak lebih bersemangat apabila berdepan kelab yang sudahpun tersingkir, Middlesbrough di Stadium Riverside kerana Jurgen Klopp mahu memastikan pasukannya kembali ke kancah Liga Juara-Juara selepas terlepas aksi berprestij itu pada tiga musim terakhir.
Sebagai kelab yang memiliki sejarah hebat dalam bola sepak England dan Eropah, Reds terdesak untuk bersaing dengan kelab-kelab gergasi lain bagi mengesahkan status mereka sebagai antara pasukan terhebat.
Perkara paling meresahkan Liverpool menjelang kunjungan ke Middlesbrough adalah rekod buruk mereka yang sering kalah mengejut apabila berdepan pasukan kerdil. Reds tewas kepada Burnley, Bournemouth, Swansea dan Hull City musim ini.
Gagal meraih tiga mata penuh hanya akan mengundang risiko, terutama jika Arsenal memenangi pertemuan menentang Everton di Emirates.
“Saya tidak perlu jelaskan kepentingan perlawanan ini. Ia mungkin ibarat final merebut trofi atau final Piala Dunia. Ia antara perlawanan terpenting buat pasukan dalam tempoh beberapa tahun.
“Kami hanya mahukan kemenangan dalam perlawanan ini, jadi saya mengharapkan yang terbaik daripada pemain,” kata Klopp.
Bagi Arsenal, kemenangan akan menghidupkan peluang, tetapi mereka juga perlu menunggu hasil keputusan pertemuan Liverpool dan City.
Kekalahan pula bukan sahaja akan membawa Gunners ke Liga Europa, malah mungkin menyebabkan pengurus mereka, Arsene Wenger disingkirkan.