Walaupun skuad bimbingan Zinedine Zidane itu masih memerlukan mata dalam pertemuan terakhir menentang Malaga di La Rosaleda, Ahad ini, namun keputusan seri sudah memadai untuk mereka dinobat sebagai juara selepas lima tahun.

Bekas pasukan Xavi, Barcelona perlu memenangi pertemuan terakhir menentang Eibar di Camp Nou untuk menghidupkan peluang, sambil berharap Real gagal pulang bersama sebarang mata.

“Keadaan sangat sukar untuk melihat gelaran La Liga terlepas daripada Real Madrid. Mereka sa­ngat kuat.

“Mereka memiliki (Toni) Kroos, (Luka) Modric, Isco…pemain-pemain yang amat saya gemari.

“Kunci utama mereka adalah ketika menang ke atas Vigo. Harap mereka kalah di Malaga dan Barcelona akan muncul juara, namun sejujurnya ia sukar untuk berlaku.

“Mari kita harap keajaiban. Ma­laga berada pada prestasi terbaik ketika ini dan hendak menang di tempat mereka bukan tugas mudah. Jadi, kita harap mereka boleh mengejutkan Real,” kata Xavi kepada akhbar Sepanyol, AS.

Selain menghampiri kejua­raan La Liga, Real juga berada di landasan untuk merangkul gela­ran berganda buat kali pertama dalam tempoh 59 tahun apabila bakal berentap pada final Liga Juara-Juara menentang Juventus di Cardiff, 3 Jun ini.

Xavi, 37, yang pernah membantu Barcelona muncul juara La Liga dan Eropah sebelum menyertai kelab Qatar, Al Sadd pada 2015 berharap perlawanan akhir Liga Juara-Juara akan dimenangi Juventus, sambil menjangkakan penjaga gol mereka, Gianluigi Buffon bakal membawa impak.

“Juventus sangat bagus ketika ini. Mereka pasukan yang hebat dan itu terbukti selepas menyingkirkan Barcelona dengan mempamer disiplin tinggi di bahagian pertahanan.

“Saya rasa final adalah 50-50, tetapi saya dengar Buffon tidak pernah menang Liga Juara-Juara, harap dia akan membantu Juventus memenangi trofi itu kali ini dan kemudian dinobat sebagai Pemain Terbaik Dunia (Ballon d’Or),” katanya lagi.