Real dinobatkan sebagai juara La Liga buat kali pertama sejak 2012 selepas menumpaskan Malaga 2-0, awal pagi tadi.

Jaringan Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema memastikan kemenangan skuad Los Blancos, sekali gus meletakkan mereka di landasan untuk memburu kejuaraan berganda apabila akan turut beraksi dalam final Liga Juara-Juara menentang Juventus di Cardiff, 3 Jun ini.

Pasukan itu mengetepikan musuh tradisi yang juga penyandang juara, Barcelona dengan kelebihan tiga mata, walaupun lawan mereka itu turut memenangi perlawanan terakhirnya dengan menewaskan Eibar 4-2.

“Kami patut bangga dengan pasukan dan seluruh staf kejurulatihan. Ramai yang tidak mahu Real Madrid menjuarai La Liga, namun kami terus berjuang sehingga hari terakhir.

“Kami adalah Real Madrid dan sasaran kami sejak awal adalah memenangi semua kejuaraan, termasuk La Liga. Kami mengharungi musim yang hebat dan dua minggu dari sekarang, kami akan memburu gelaran kedua,” kata pemain pertahanan Brazil itu.

Sementara itu, Benzema berkata, kemenangan ini mampu menyuntik semangat pasukannya sebelum berdepan Juventus, yang turut dinobat sebagai juara Serie A hari ini ketika saingan berbaki satu perlawanan.

“Gelaran ini penting buat semua orang dan saya amat bangga dengan pasukan yang dimiliki. Kami juga berterima kasih kepada penyokong Real Madrid,” kata penyerang Perancis itu.