WAYNE ROONEY masih gagal mendapat tempat dalam skuad England selepas jarang diturunkan dalam pasukan Mancahester United musim ini. Reuters

Penyerang berusia 32 tahun tersebut telahpun kehilangan tempat di Manchester United dan dia berdepan masalah serupa dengan skuad bimbingan Gareth Southgate sewaktu peneraju England itu mengumumkan pasukannya Mac lalu, walaupun pada ketika itu Rooney ditimpa kecederaan lutut.

Rooney yang kini kembali cergas, hanya membuat penampilan singkat ketika melakar kemenangan ke atas Ajax pada perlawanan akhir Liga Europa di Stockholm, semalam dan pemain itu menyimpan impian menamatkan kariernya di pentas antarabangsa selaku kapten England pada Piala Dunia di Rusia, tahun depan.

Namun, harapan tersebut hanya tinggal impian buat Rooney, yang memegang rekod penjaring terbanyak England dengan 53 gol dan memiliki cap tertinggi iaitu 119 penampilan untuk negaranya.

Kariernya di United juga telah mula suram setelah pemain tersebut tidak lagi menjadi keutamaan United sejak berada di bawah kendalian Jose Mourinho.

“Kami mempunyai ramai pemain yang beraksi cemerlang di posisi di mana Wayne beraksi. Saya pernah berkata sebelum ini (Mac lalu), dia tidak bermain dalam banyak perlawanan, namun pada ketika ini dia mula kerap beraksi, tetapi kami juga mempunyai pemain yang mempamerkan prestasi amat bagus seperti Adam Lallana dan Dele Alli.

“Saya tidak boleh mengubah hakikat ini, pemain-pemain lain berada pada prestasi yang amat bagus dan berhak untuk mempertahankan tempat mereka,” kata Southgate kepada thefa.com.

Bagaimanapun, Southgate tidak pula menolak sepenuhnya untuk memanggil semula Rooney, yang tiga tahun lebih muda berbanding penyerang veteran, Jermain Defoe yang dikekalkan di dalam skuad England walaupun Sunderland tersingkir daripada saingan Liga Perdana Inggeris.

“Anda tidak boleh ketepikan sepenuhnya Wayne dan pasti, musim depan, dia kerap bermain. Dia menamatkan musim ini dengan baik dan pasti akan mengekalkan prestasi pada musim depan,” kata Southgate.