Jurulatih baharu Harimau Malaya itu berkata usia tidak menjadi masalah selagi pemain yang dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan dapat menampilkan persembahan terbaik.
Pengendali dari Portugal itu, yang masak dengan bola sepak Eropah, berkata pemain berusia lebih 30 tahun yang masih lagi mampu bermain dengan hebat tetap dipanggil untuk menyarung jersi kebangsaan Itali.
“Pemain bola sepak yang baik tidak berdasarkan umur, ambil contoh pemain-pemain di Eropah seperti Itali, pemain berusia 34 atau 35 tahun masih bermain pada tahap tertinggi.
“Saya tidak memandang pada umur atau latar belakang pemain, apa yang saya pandang adalah kualiti seseorang pemain, itu yang penting,” ujarnya.
Ditanya mengenai tindakan empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang keluar daripada persaraan antarabangsa dan dipanggil menyertai kem pasukan kebangsaan, Vingada berkata perkara itu berlaku sebelum kehadirannya.
“Saya tidak mendapat maklumat berhubung perkara tersebut dan berlaku sebelum saya tiba di sini. Apa yang saya tahu panggilan untuk menyarung jersi kebangsaan adalah satu kebanggaan bagi pemain bola sepak,” ujarnya.
Dengan Vingada hanya tiba di Johor Bahru pada 23 Mei lalu, pemilihan pemain telah dilakukan oleh pembantunya Tan Cheng Hoe yang memanggil sembilan ‘kuda tua’ berusia atas 30 tahun daripada 26 yang tersenarai.
Tugasan Vingada selepas dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya adalah menyiapkan pasukan untuk menghadapi Lebanon dalam kelayakan Piala Asia 2019 pada 13 Jun ini.
Vingada yang memulakan kerjanya bersama skuad kebangsaan di Padang Sri Gelam di sini malam tadi berkata, aspek tersebut merupakan perkara paling sukar dalam tugasnya.
Beliau mengakui memberi keyakinan kepada pasukan pembantunya dalam pemilihan pemain kerana dia sendiri memerlukan masa untuk meneliti setiap daripada mereka dan mempelajari selok belok sukan bola sepak tempatan.
“Kami memulakan sesi latihan pertama ini dengan langkah positif, apa yang penting adalah menerapkan semangat bersatu dalam pasukan sama ada dalam kalangan pemain dan pengurusan.
“Saya mempunyai masa yang singkat dalam mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan 13 Jun ini, namun saya yakin akan dapat mencari keserasian dan kombinasi terbaik antara mereka,” katanya selepas sesi latihan.
Sesi latihan bermula pada pukul 10.30 malam tadi dan tamat kira-kira 12 tengah malam dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berada di tepi padang.