Pemain berusia 26 tahun itu, yang menyertai skuad Foxes dari kelab Perancis, Le Havre pada 2014 berkata, dia sebelum ini bersetuju untuk kekal semusim lagi setelah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Leicester pada tahun lalu.
Bagaimanapun jelasnya, kini sudah tiba masanya untuk dia berhijrah bagi memenuhi ‘cita-cita besarnya’.
Mahrez, yang juga pemain terbaik 2016, beraksi 48 perlawanan dan meledak 10 gol sepanjang musim ini, selain membantu Leicester melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Pemain antarabangsa Algeria itu yang dibeli Leicester dengan harga 400,000 pound (RM 2.2 juta), telah menandatangani kontrak lanjutan selama empat tahun pada musim lalu.
“Dengan rasa rendah diri dan rasa hormat kepada kelab yang saya naungi hari ini (Leicester), saya secara jujurnya dan tidak mahu berselindung, telah memaklumkan kepada kelab tentang perasaan saya sekarang. Dan kini sudah tiba masanya untuk saya berhijrah.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan pengerusi pada hujung musim panas lalu, dan kami bersetuju pada masa itu bahawa saya akan terus berada di ini untuk tempoh semusim lagi dalam usaha membantu Leicester meraih lebih banyak kejuaraan dan beraksi dalam Liga Juara-Juara.
“Saya melalui tempoh empat tahun yang hebat di Leicester dan merindui setiap saat ini, malah saya turut bangga dengan pencapaian kami terutama memenangi gelaran Liga Perdana.
“Hubungan saya bersama kelab dan penyokong sesuatu yang akan saya kenang sampai bila-bila dan saya berharap mereka menghormati keputusan saya ini,” katanya.