Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam dijangka berlangsung pada Isnin ini di pejabat badan berkenaan.

Menurutnya, pertemuan itu merupakan langkah terbaik untuk merungkai semua masalah antara KAFA dengan FMLLP yang berlaku ketika ini.

“Kita fikir perkara ini perlu ke proses perbincangan lanjut dan itulah langkah yang terbaik bagi menyelesaikan segala kekusutan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan penaja utama TRW, Tan Sri Annuar Musa terus meluahkan rasa kecewanya apabila mendakwa FMLLP tidak memberikan keadilan buat pasukan berkenaan.

Annuar berkata, badan induk yang menguruskan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) tidak sepatutnya terus mengambil tindakan sesuka hati, sebaliknya perlu mempunyai timbang rasa.

Dalam pada itu, Afandi memberitahu, KAFA bersedia untuk menswastakan pasukan TRW bagi mengharungi saingan Liga M musim 2018.

Katanya, penswastaan itu akan dibuka kepada syarikat korporat dan penyokong dalam pengurusan badan induk itu.

“Pembahagian saham diagihkan mengikut kaedah iaitu 70 peratus untuk syarikat dan 30 peratus untuk penyokong.

“Memandangkan sekarang masuk pertengahan musim, adalah lebih elok kita buat persiapan awal ke arah menjayakan hasrat ini,” ujarnya.

Afandi berkata, satu jawatankuasa akan dibentuk untuk memperincikan perkara tersebut tidak lama lagi.