Coutinho, 24, telah dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona selepas mempamerkan pres­tasi memukau bersama Li­verpool penggal ini.

Pemain antarabangsa Brazil itu menjaringkan 13 gol dan melaksana­kan tujuh bantuan dalam kempen Liga Perdana Inggeris untuk membantu Reds melayakkan diri ke Liga Juara-juara musim depan.

Bos baharu Barcelona, Ernesto Valverde mensasarkan untuk mengukuhkan pasukannya menjelang saingan musim depan dalam usaha bagi merampas kembali gelaran La Liga dari­pada seteru ketat Real Madrid.

Coutinho telah dikenal pasti sebagai pemain yang berpotensi di bawa ke Camp Nou untuk digandingkan dengan Luis Suarez, Neymar dan Messi.

Majalah sukan mingguan Sepanyol, Don Balon mendakwa Messi berharap Barcelona dapat memancing minat Couti­n­ho untuk menyertai kelab itu. Bagaimanapun, dalam usaha untuk memastikan perkara itu benar-benar terjadi bintang Argentina tersebut mendesak agar Barcelona menjual Deulofeu.

Pemain sayap Everton itu, yang menghabiskan separuh kedua musim ini dipinjamkan kepada AC Milan, menjadi sasaran utama pengurusan tertinggi Barcelona. Ketua kelab, Roberto Fernandez mengesahkan pada April lalu bahawa mereka mahu membawa pulang pemain itu ke Barcelona.

Barcelona boleh menandatangani semula Deulofeu dengan harga 10.3 juta pound (RM56 juta) selepas mereka meletakkan klausa pembelian semula pemain itu daripada Everton di dalam kontraknya penjualannya.

Namun, difahamkan Messi mahu Barca menjual semula pemain itu dan menggunakan hasil penjualan kepada AC Milan untuk mendapatkan khidmat Coutinho.

Coutinho, bagaimanapun, telah menolak khabar angin yang mengaitkan dirinya akan berpindah ke Barcelona. Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, Coutinho memberitahu ESPN Brazil: “Saya mempunyai kontrak jangka panjang bersama Liverpool. Spekulasi hanya untuk wartawan.”