Juara Sepanyol itu kini nekad untuk menaik taraf skuad bimbingan Zinedine Zidane tanpa mempedulikan apa yang bakal terjadi dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara, Sabtu ini.
Pada ketika mereka begitu yakin untuk mendapatkan khidmat penjaga gol Manchester United, David De Gea, sasaran utama mereka sebenarnya ialah pemain sayap Chelsea, Hazard.
Real sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan bintang antarabangsa Belgium itu meninggalkan Stamford Bridge.
Menurut sumber dalaman Real, tidak kurang daripada tiga taklimat telah dilaksanakan dalam mesyuarat secara berasingan yang diadakan pada tahun ini antara wakil kelab dan rombongan Hazard.
Real telah memberi gambaran jelas kepada Hazard bahawa mereka bersedia memecah rekod dunia dengan membayar 100 juta pound (RM549 juta).
Hazard telah dijanjikan oleh Real untuk menggalas tanggungjawab selaku pemain perancang, yang mana dia akan diberi peranan antara tiga pemain yang menerajui jentera serangan iaitu Cristiano Ronaldo, Karim Benzema dan Gareth Bale.
Difahamkan perbualan tersebut berlangsung secara terperinci antara wakil Hazard dan Real ketika membincangkan mengenai taktik serta formasi.
Sementara Hazard telah membuat kenyataan bahawa dia gembira berada di London, dan Real pula percaya pemain itu bersedia untuk berpindah kerana rasa hormatnya terhadap Zidane, yang merupakan idolanya.
Chelsea pula nampaknya bersedia untuk menolak tawaran awal tersebut dan yakin untuk mengekalkan Hazard bagi saingan musim depan dalam usaha mereka memburu gelaran Liga Juara-juara yang pernah dimenangi kelab itu pada 2012.
Namun, Antonio Conte turut menuntut peruntukan yang tinggi untuk membolehkan dia mempersiapkan skuad bimbingannya bagi mengharungi aksi domestik dan di pentas Eropah. Situasi tersebut memerlukan Chelsea mendapatkan wang tunai.