Arahan itu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam dan diumumkan oleh Timbalan Pengerusinya, Superintenden Md. Dali Wahid dalam kenyataan hari ini.
Md. Dali berkata, Kafa dikehendaki membayar tunggakan gaji tersebut dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan keputusan berkenaan.
Tiga pemain dalam kes Kafa ialah Tuan Muhamad Faim Tuan Zainal Abidin, Mohd. Khairul Izuan Rosli dan Mohammad Faizal Abu Bakar.
Kecuali Khairul Izuan yang masih bersama Kelantan, Tuan Muhammad Faim kini tiada pasukan manakala Mohammad Faizal bersama Negeri Sembilan.
“Tuntutan pengadu telah diterima sepenuhnya dan Kafa dikehendaki membayar tunggakan gaji tersebut manakala tuntutan dikemukakan oleh pegawai Velizar Emilov Popov memerlukan Kafa membayar AS$14,000 (RM59,940.42) dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini.
“Kafa perlu membayar tunggakan gaji Tuan Muhamad Faim berjumlah RM9,000, Mohd. Khairul Izuan RM77,486.87 dan Mohammad Faizal RM44,000,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) diminta menjelaskan RM132,000 tunggakan melibatkan dua pemain iaitu Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor berjumlah RM72,000 dan Muhammad Hafizuddin Harun RM60,000, juga dalam tempoh 14 hari bermula tarikh keputusan diperoleh iaitu semalam.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Status FAM turut memberitahu bahawa tuntutan dikemukakan oleh pemain, Mohd. Afiq Amsyar A. Salamat terhadap PKNP FC telah ditolak.