Reds akan menjadikan Van Dijk sebagai pemain pertahanan termahal dalam sejarah bola sepak, selepas bintang antarabangsa Belanda tersebut mengesahkan dia memilih Liverpool berbanding dua gergasi Liga Perdana Inggeris itu.
Ketiga-tiga kelab tersebut telah mengadakan pertemuan dengan bintang Southampton itu sejak beberapa minggu lalu dalam usaha mereka menerangkan mengenai perancangan masa depan masing-masing kepada bek tengah berkenaan.
Namun, karisma dan semangat yang dimiliki bos Jurgen Klopp telah menarik minat Van Dijk memilih projek Anfield, apabila individu yang rapat dengan pemain berkenaan memberitahu dia amat kagum dengan keghairahan yang ditunjukkan jurulatih warga Jerman itu.
Reds enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung spekulasi tersebut, tetapi Daily Mirror membuat pendedahan selepas Van Dijk sendiri yang membuat keputusan, sementara wakil dari kelab Merseyside itu masih lagi dalam rundingan dengan Southampton berhubung yuran perpindahan.
Difahamkan Liverpool masih belum mengemukakan sebarang tawaran rasmi kepada Saints tetapi dijangka berbuat demikian untuk menyaingi harga 60 juta pound (RM329 juta) yang diletakkan Manchester City untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun itu.
Rundingan masih lagi berjalan, tetapi Liverpool sedia menyaingi tawaran yang dikemukakan City, dan sekali gus membincangkan mengenai kontrak bernilai 200,000 pound (RM1.09 juta) seminggu untuk Van Dijk.
Yuran perpindahan termahal untuk pemain pertahanan ialah 50 juta pound (RM274 juta) apabila Chelsea membawa pulang David Luiz ke Stamford Bridge pada musim panas lepas, tetapi jika Liverpool menyamai tawaran City, maka angka tersebut bakal dipecahkan.
Sejak dua bulan lalu, Van Dijk telah mula membincangkan mengenai masa depannya selepas dimaklumkan tiga kelab gergasi Liga Perdana Inggeris sanggup bersaing untuk mendapatkan tandatangannya, dengan Arsenal turut berminat.
Dia telahpun berunding dengan ketiga-tiga kelab berkenaan. Walaupun Liverpool tidak dianggap sebagai pencabar utama, mereka masih mampu memenangi perlumbaan setelah wawasan Klopp memikat hati pemain pertahanan tersebut.
Van Dijk juga telah menjelaskan kepada Saints bahawa dia mahu ke Anfield dan tidak berminat berpindah ke kelab lain, yang mana ini bermakna rundingan itu sebenarnya telahpun selesai.