Argentina yang baharu mendapatkan khidmat Sampaoli terlepas peluang untuk mara ke pusingan seterusnya dalam kempen Piala Dunia secara automatik setelah menduduki tangga kelima dengan berbaki empat lagi perlawanan.
Kira-kira seramai 100,000 penyokong bakal membanjiri Melbourne Cricket Ground, venue pertemuan Argentina menentang Brazil sebelum skuad White and Sky Blue itu menghadapi Uruguay dalam kelayakan Piala Dunia pada 31 Ogos ini.
Sampaoli merupakan jurulatih ketiga Argentina sepanjang menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia selepas Gerardo Martino and Edgardo Bauza, berkata dia menghargai komitmen Messi untuk membantu pasukannya mara ke pusingan akhir Piala Dunia di Rusia, tahun depan.
“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai pemain terbaik di dunia yang sanggup memendekkan percutiannya di China dan sanggup hadir ke sini semata-mata untuk aksi persahabatan ini. Dia pasti akan memimpin Argentina mara ke pusingan akhir Piala Dunia, jadi penglibatannya sangat diperlukan.
“Apa yang dilakukan untuk pasukan terutamanya pada masa kini amat berharga. Saya sangat berharap dia mampu menunjukkan kebolehannya untuk memimpin dan menjadi pemain yang baik untuk Argentina,” kata Sampaoli.
Dalam pada itu, Sampaoli mengakui dia mahu menjadikan perlawanan tersebut sebagai platform terbaik untuk menguji keserasian di antara Messi dan pemain Paris Saint-Germain (PSG), Angel Di Maria.
“Mereka pemain yang bagus, secara individu dan aksi persahabatan ini memberi peluang kepada kami untuk menguji mereka dan melihat sejauh mana mereka boleh bekerjasama. Mereka berdua pemain yang hebat dan kami meletakkan harapan yang tinggi. Saya percaya mereka boleh membantu pasukan,” kata Sampaoli.