Penjaga gol Bosnia-Herzegovina itu menamatkan kontrak dua tahun di Stamford Bridge untuk berpindah ke Bournemouth bagi mencari tempat dalam kesebelasan utama selepas lebih banyak beraksi sebagai pemain gantian di belakang Thibaut Courtois sepanjang bersama juara Liga Perdana Inggeris itu.

Terry, 32, sebelum ini mengumumkan karier panjangnya bersama Chelsea sudah berakhir sebaik sahaja musim ini tamat, namun dia belum mengesahkan pasukan mana yang bakal dipilih selepas ini.

Aston Villa adalah pasukan terakhir yang dikaitkan dengan bekas kapten England itu, namun Begovic yang pernah beraksi bersama Bournemouth secara pinjaman pada awal kariernya mahu melihat pertahanan tengah tersebut berpindah ke Stadium Vitality.

“Jika dia berminat dengan Bournemouth, kami pasti mengalu-alukan kedatangannya di sini.

“Dia seorang yang hebat, baik sebagai pemain mahu pun individu. Jadi pada pandangan saya, memiliki Terry di sini adalah sesuatu yang sangat…sangat bagus.

“Dia antara pertahanan terbaik pernah dimiliki Liga Perdana. Dia legenda di Chelsea dan berhak membuat keputusan terbaik buat dirinya serta keluarga.

“Saya harap, apa pun keputusan yang bakal diambil oleh Terry…dia akan gembira. Saya doakan yang terbaik buat masa depannya,” kata Begovic kepada pemberita dalam majlis Yayasan Golf Klasik Asmir Begovic, hari ini.