Peminat lelaki dan wanita bukan sahaja memenuhi jalan-jalan di Teheran, malah bandar-bandar lain sejurus selepas negara mereka mengesahkan kelayakan dengan menumpaskan Uzbe­kistan 2-0 dalam perlawanan kelayakan di Stadium Azadi, di sini semalam.

Presiden Iran, Hassan Rouhani turut menyertai sambutan tersebut apabila memuat naik status di Twitter: “Tahniah kepada negara dan skuad kebangsaan kita kerana melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Rusia. Anda kebanggaan kami.”

Juara Asia tiga kali itu muncul pasukan kedua selepas juara lima kali Brazil berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2018, sekali gus bakal membuat penampilan kelima dalam kejohanan 32 pasukan itu.

Jaringan Sardar Kazmoun dan Mehdi Taremi memastikan skuad bimbingan bekas pengurus Real Madrid dan Portugal, Carlos Queiroz itu meraih tiket dari Kumpulan A, zon kelayakan Asia, walaupun persaingan masih berbaki dua perlawanan.

Kazmoun membuka tirai ja­ringan pada minit ke-23, kemudian melakukan hantaran untuk di­sempurnakan Taremi pada masa kecederaan bagi memastikan Iran mengekalkan rekod tanpa kalah dan tidak tidak dibolosi sepanjang lapan perlawanan kelayakan.

Mereka mengatasi pasukan di anak tangga kedua, Korea Selatan dengan tujuh mata, manakala Uzbekistan di tempat ketiga dengan lapan mata di belakang Iran yang mengumpul 20 mata.

Di jalan-jalan utama dan Dataran Teherani, penyokong berkumpul sambil menyanyi: “Queiroz, kami sayangkan anda. Queiroz, terima kasih.”

“Saya ke sini untuk menyertai sambutan nasional. Saya bangga dengan pasukan bola sepak kami dan sayang Carlos Queiroz,” kata seorang peminat Ashkan Kasraeian bersama isteri dan rakan-rakannya.

Presiden Konfederasi Bola Sepak (AFC), Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa turut memuji prestasi konsisten Iran dan berharap kejayaan mereka layak ke Piala Dunia akan menjadi inspirasi kepada pasukan Asia yang lain.

Dua pasukan di tempat teratas kumpulan kelayakan Asia layak secara automatik ke Rusia, manakala dua pasukan di anak tangga ketiga perlu mengharungi playoff.