Pengendali dari Melaka itu berkata, perlawanan persahabatan menentang pasukan simpanan kelab terkenal China, Guangzhou Evergrande di Guangzhou esok menjadi peluang terakhir kepada pemainnya untuk merebut tempat dalam skuad B-22 negara yang sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Kelayakan AFC Bawah 23, Julai ini.

Skuad B-22 negara tewas 1-0 ketika bertemu B-22 China pada Sabtu lalu sebelum seri 2-2 menentang Guangzhou R&F semalam dan Kim Swee berharap tiga perlawanan ujian dalam jelajah ke China dapat memberikan pendedahan tahap tinggi kepada anak buahnya.

“Saya percaya perlawanan ketiga lebih mencabar daripada sebelum ini kerana mereka pasti menurunkan beberapa pemain daripada Liga Super China. Pemain yang diturunkan esok berkemungkinan besar kesebelasan terbaik setakat ini dan dari situ kita akan dapat menilai kekuatan kita.

“Dari awal saya mahu mendedahkan pemain bermain di pe­ringkat tertinggi. Apa yang pen­ting adalah sikap dan keinginan pemain untuk menang mesti ada dalam diri mereka.

“Walaupun saya tidak mengatakan keputusan perlawanan tidak penting tetapi perlu mendapatkan kemenangan kerana mampu beri keyakinan kepada pemain untuk terus berlatih. Ini peluang terakhir kepada pemain yang sebelum ini semuanya pernah diturunkan kecuali Haziq (Nadzli).

“Saya mendapati ada pemain yang tidak begitu memuaskan terutamanya yang baru dipanggil malah ada pemain yang beraksi dalam skuad utama pasukan Liga M tetapi tidak menunjukkan prestasi terbaik. Terpulang kepada mereka dalam perlawanan esok untuk saya menilai mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kim Swee memberitahu beliau akan memanggil beberapa lagi pemain untuk menghadapi perlawanan persahabatan menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat pada 22 Jun ini.

“Saya akan gugurkan beberapa pemain apabila pulang ke Malaysia nanti dan ada kemungkinan beberapa pemain tambahan yang saya akan panggil untuk satu lagi perlawanan persahabatan bertemu Melaka United sebelum cuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.