Turun selaku juara dunia, Jerman yang membawa skuad muda dalam kejohanan ini bakal berdepan juara CONCACAF, Mexico pada separuh akhir di Stadium Fisht, Khamis ini (1.45 pagi Jumaat waktu Malaysia).
Penyerang muda RB Leipzig, Werner membuka kariernya di pentas antarabangsa dengan meledak dua gol ketika membantu Jerman membenam Cameroon 3-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Itu adalah kemenangan ke-100 buat Ketua Jurulatih Jerman, Joachim Loew bersama skuad Die Mannschaft.
“Mexico bakal menjadi lawan yang sangat sukar dan kami perlu memberi aksi terbaik.
“Sudah tentu, kami tidak berada di sini untuk berkata, ‘baiklah, ia sudah memadai jika kami dapat meraih kedudukan ketiga atau mara ke perlawanan akhir’. Kami mahukan kejuaraan dalam kejohanan ini.
“Piala Konfederasi adalah peluang terbaik buat kami pemain muda menimba pengalaman. Ini kali pertama kami mendapat bayangan apakah maknanya berada dalam sebuah kejohanan besar.
“Sudah tentu, Piala Dunia sesuatu yang berbeza tetapi pertandingan ini juga memberikami pengalaman yang amat penting.
“Kami semua tidak sabar untuk beraksi dalam separuh akhir dan kami memiliki semangat berpasukan yang hebat,” kata pemain berusia 21 tahun itu yang meledak 21 gol dalam aksi Bundesliga, musim lalu.
Loew dijangka menyenaraikan kembali Lars Stindl dalam kesebelasan utama setelah pemain tengah Borussia Monchengladbach itu diketepikan pada pertemuan menentang Cameroon.
Stindl menjaringkan gol dalam dua perlawanan pembukaan bertemu Australia dan Chile.
Bek tengah Arsenal, Shkodran Mustafi juga dijangka kembali ke pangkuan pasukan, sementara penjaga gol Barcelona, Marc-Andre ter Stegen bakal menjaga gawang.
Mexico adalah satu-satunya pasukan dalam kejohanan kali ini yang pernah merangkul Piala Konfederasi.
Mereka menjadi tuan rumah pada 1999 dan menumpaskan Brazil 4-3 dalam perlawanan akhir.
Skuad bimbingan Juan Carlos Osorio itu memiliki ramai pemain berpengalaman di peringkat antarabangsa, termasuk penjaring terbanyak mereka, Javier Hernandez, selain Giovani dos Santos.
Kedua-dua pemain ini telah membuat 100 penampilan biarpun belum mencecah usia 30 tahun.
Turut menjadi sandaran Mexico untuk berdepan skuad muda Jerman adalah pemain tengah juara Belanda, PSV Eindhoven, Andres Guardado.