LIVERPOOL 23 Jun – Mohamed SALAH akhirnya sah menyertai Liverpool dan berkata dia tidak sabar untuk memulakan kehidupan di Anfield.
Liverpool akan membayar Roma 39 juta pound (RM211 juta) untuk pembelian Salah, yang menjadi pemain paling mahal ditandatangani kelab Merseyside itu.
Pemain antarabangsa Mesir itu bakal menyarung jersi No. 11 di Anfield musim depan, nombor yang digunakan Roberto Firmino pada penggal lepas.
Ini bermakna bintang Brazil itu akan menukar nombor jersinya kepada No. 9 setelah pengurus Reds, Jurgen Klopp merancang untuk meletakkan Firmino selaku penyerang utama musim depan.
Salah merupakan pemain kedua yang diikat Liverpool pada musim panas ini setelah Dominic Solanke terlebih dahulu berbuat demikian.
“Saya amat teruja berada di sini. Saya sangat gembira. Saya akan memberikan 100 peratus dan apa sahaja kepada kelab ini. Saya benar-benar mahu memenangi sesuatu untuk kelab ini. Kami mempunyai sebuah pasukan yang hebat dan barisan pemain handalan.
“Saya pernah menonton perlawanan pada tahun lepas dan semua pemain memberikan 100 peratus untuk memburu kemenangan. Semua orang boleh menyaksikan, jurulatih telah memberikan segala-galanya,” kata Salah kepada laman web Liverpool.
Pengendali Liverpool, Klopp pula mengakui dia telah mula mengikuti perkembangan Salah sejak pemain itu menyertai Basel lima tahun lalu.
“Mohamed mempunyai pengalaman dan potensi, ini merupakan pembelian yang amat menerujakan kami. Dia amat mengenali Liga Perdana Inggeris, malah dia juga berpengalaman di dalam Liga Juara-juara dan merupakan pemain paling penting kepada negaranya.
“Rekodnya di Itali amat cemerlang dan kualiti yang dimilikinya berupaya meningkatkan permainan pasukan kami. Saya telah mengikuti perkembangannya sejak di Basel lagi dan dia semakin matang dan menjadi seorang pemain yang cukup bagus.
“Kelajuannya memang menakjubkan, dengan kehadirannya jentera serangan akan lebih berbahaya dan kami sudahpun mantap di posisi ini. Kami cuma mahu menjadikannya lebih kompetitif. Apa yang paling penting buat kami, keinginannya untuk terus meningkatkan kualiti yang dimiliki,” katanya.