Tolakan mudah Lars Stindl pada minit ke-20, susulan kesilapan pemain tengah Chile, Marcelo Diaz, sudah cukup untuk membolehkan skuad bimbingan Low itu menang 1-0.

Walaupun menguasai permainan, Chile gagal menjadikan 61 peratus penguasaan dan 20 percubaan kepada kemenangan, berbanding Jerman yang hanya menghasilkan lapan percubaan.

Nyata pendirian pengendali berusia 57 tahun itu memberikan kepercayaan kepada muka-muka baharu termasuk membariskan pemain muda membuahkan hasil lumayan.

Jelas Loew, dia sendiri amat teruja dengan usaha dan semangat yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya, walaupun sebelum ini dikritik hebat ekoran bereksperimen terhadap pasukannya ketika Piala Dunia bakal membuka tirai 11 bulan lagi.

“Ini merupakan satu kepuasan. Kami telah menunjukkan prestasi yang hebat sepanjang tiga ming­gu ini. Mereka sentiasa memberikan komitmen yang baik. Saya cukup bangga.

“Perlu diingat, setiap pemain Jerman kini semakin meningkat. Bermakna masih ramai pemain yang bagus di Jerman,” kata Loew sejurus tamat perlawanan.

Sementara itu, kapten Jerman, Julian Draxler berkata, mereka te­lah berjuang sebaiknya dan berhak menjadi juara.

“Sukar dipercayai sebab kami belum pernah beraksi bersama sebelum Piala Konfederasi. Ini menjadikannya lebih bermakna.

“Setiap gelaran adalah istimewa, tetapi dengan pasukan muda ini, ia lebih lagi. Sekarang kami semua boleh bercuti dan membawa trofi bersama kami,” kata Draxler yang menerima anugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan.

Loew kemudian menyertai Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mengetuai seruan supaya menyokong Rusia sebagai tuan rumah Piala Dunia tahun depan.