Vidal tidak salahkan sesiapa

By
Updated: July 4, 2017

SAINT PETERSBURG 3 Julai – Pemain tengah Chile, Arturo Vidal tidak menyalahkan sesiapa sekali pun pasukannya tewas 0-1 akibat kesilapan Marcelo Diaz yang membolehkan Jerman memperoleh gol tunggal perlawanan akhir Piala Konfederasi hari ini.

Pemain tengah Celta Vigo, Diaz gagal mengeluarkan bola sehingga memberi ruang kepada Timo Werner untuk merampasnya sebelum menghantar kepada Lars Stindl untuk menjaringkan gol pada minit ke-20.
Pemain tengah Bayern Munich, Vidal berkata dia tidak berhak untuk menuding jari kepada sesiapa, sebaliknya menyifatkan kesemua barisan pemain Chile perlu menanggung kekalahan tersebut.

“Terdapat beberapa kesilapan yang akan berlaku tetapi tidak wajar untuk menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Jika menang, kami muncul selaku pasukan terbaik dunia.

“Kami akan terus berusaha lebih gigih kerana terdapat banyak pasukan lain yang akan meningkat,” katanya.

Kapten Chile, Claudio Bravo bersetuju dengan rakan sepasukannya itu selain menyifatkan pres­tasi pasukannya dengan Jerman tidak jauh berbeza.

“Kami sedih tidak menang, tetapi kami bermain menentang pasukan kelas dunia dan perlu belajar daripada kesalahan kami,” kata Bravo yang dinobatkan sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Jerman meraih kejuaraan sulung Piala Konfederasi dalam edisi kelapan kejohanan pra-Piala Dunia itu.

Sementara itu, Portugal meraih tempat ketiga Piala Konfe­derasi selepas membenam Mexico 2-1 dalam perlawanan di Moscow.