LOS ANGELES 7 Julai – Penyerang Everton, Romelu Lukaku dilapor berada di Los Angeles bagi menjalani pemeriksaan kesihatan untuk melengkapkan perpindahan bernilai 75 juta pound (RM417.88 juta) ke Manchester United.
Bintang Belgium itu semakin hampir menyertai United secara mengejut meskipun sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke bekas kelabnya, Chelsea.
United berharap dapat memuktamadkan perjanjian bersama Lukaku menjelang Ahad ini ketika mereka tiba di bandar itu bagi memulakan jejalah pra-musim di Amerika Syarikat.
Lukaku sedang bercuti di Los Angeles berdasarkan kepada entri terbaharunya di Instagram, dia turut meluangkan masa bersama Paul Pogba dan perkara itu menguatkan lagi spekulasi perpindahannya ke Old Trafford.
United berjaya memintas Chelsea selepas bersetuju dengan nilai perpindahan 75 juta pound (RM417.88 juta) untuk pemain berusia 24 tahun itu sekali gus menjadikannya pemain termahal dalam sejarah perpindahan di antara kelab Britain.
Lukaku meledak 26 gol dalam semua pertandingan musim lalu dan dilihat sebagai calon ideal untuk menggantikan Zlatan Ibrahimovic.
Selepas ketiadaan Ibrahimovic, United mengalihkan tumpuan mereka kepada Alvaro Morata kemudian mengubah sasaran mereka kepada Lukaku.
Selepas mengharungi musim mengecewakan, akhirnya United berjaya membawa masuk nama besar ke dalam skuad mereka.
Meskipun berbelanja besar musim lalu untuk mendapatkan Pogba dan Henrikh Mkhitaryan, manakala Ibrahimovic merupakan nama besar yang diperoleh secara percuma, mereka sekadar menamatkan saingan di kedudukan keenam liga.