Myanmar hadir ke Stadium Shah Alam malam tadi dengan persiapan rapi dan dijangka mampu mencatat kemenangan dalam perlawanan persahabatan dengan skuad Projek Sukan SEA negara namun mereka sebaliknya tumpas 0-2 walaupun pasukan tuan rumah membuat persediaan dalam masa singkat.

Jurulatih bawah 22 Myanmar, Gerd Zeise berkata, temasya dwitahunan itu bakal menyaksikan setiap pasukan yang mengambil bahagian me­nurunkan kesebelasan terbaik dan di­sebabkan itu dia percaya keputusan perlawanan malam tadi tidak menggambarkan apa yang bakal berlaku dalam Sukan SEA bulan depan.

Malaysia dan Myanmar diletakkan dalam Kumpulan A dalam Sukan SEA bersama Singapura Laos dan Brunei. Skuad kendalian Zeise merupakan naib juara Sukan SEA 2015 selepas tewas kepada Thailand 3-0 dalam perlawanan akhir.

Jurulatih dari Jerman itu berkata pasukannya yang beraksi malam tadi bukanlah barisan terkuat kerana beberapa pemain utama tidak dibawa bersama.

“Saya simpan tonggak pasukan kerana mahu memberi laluan kepada kelayakan Piala Konfe­derasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok yang berlangsung pada 19 hingga 23 Julai ini. Saya hanya boleh menilai permainan pada babak pertama kerana babak kedua berlangsung dalam keadaan padang becak.

“Masih ada banyak masa untuk Sukan SEA dan saya yakin kedua-dua pasukan akan menukar ke­seluruhan skuad. Kami sudah bersama selama tiga minggu.

“Kami layak ke final dalam Sukan SEA 2015. Kami mahu mencuba lagi dan saya boleh katakan itu adalah sasaran kami walaupun bukan mudah untuk dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan semalam yang berlangsung dalam hujan selepas rehat.