Hart berada di bawah kontrak sehingga 2019 di City selepas tiba dari Shrewsbury Town pada 2006, tetapi pemain berusia 30 tahun itu mengalami kemerosotan prestasi secara dramatik dalam pasukan utama sejak ketibaan Pep Guardiola sebagai pengurus di Stadium Etihad tahun lalu.

West Ham difahamkan mempunyai pilihan untuk menjadikan perpindahan Hart secara kekal hingga penghujung 2017-2018.

Hart menyertai bekas rakan sepasukan di City, Pablo Zabaleta, di Stadium London selepas bek kanan Argentina itu berhijrah secara percuma.

“Ia penting untuk saya bermain bola sepak, peluang untuk datang ke sini dan bermain sangat hebat. Bermain dalam Liga Perdana untuk kelab besar seperti West Ham, saya benar-benat tidak sabar,” kata Hart kepada West Ham TV.