Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni berkata, pembinaan jati diri dan pembentukan karier pemain bermula dari peringkat akar umbi, justeru itu, setiap daripada mereka memerlukan bimbingan yang betul daripada jurulatih.

Katanya, selagi skuad kebangsaan, negeri, akademi termasuk di peringkat sekolah tidak mempunyai jurulatih berkualiti, agak sukar menyaksikan lebih ramai bintang seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dapat dilahirkan.

“Jika kita ada bakat muda yang berpotensi untuk diketengah tetapi tidak mempunyai jurulatih bagus yang bertindak sebagai guru pun tidak bermakna.

“Selagi kita tak dapat ‘ulama’ bola sepak, jangan harap landskap bola sepak negara akan berubah. Jurulatihlah yang membentuk acuan setiap pemain,” katanya dalam Forum Nombor 10, Mengmbalikan Kegemilangan Bola Sepak Malaysia di Dewan Besar Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad hari ini.

Forum sehari anjuran Utusan Malaysia itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal dengan menampilkan Khalid Saad sebagai moderator.

Antara panel jemputan Forum Nombor 10 adalah bekas rakan karib Moktar, Reduan Abdullah, Abdullah Ali dan Bakri yang mengupas sejarah dan situasi terkini bola sepak tempatan.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak.