Perkara ini disepakati tiga le­genda bola sepak negara, Bakri Ibni, Reduan Abdullah dan Abdullah Ali yang membarisi panel Forum Nombor 10 – Mengembalikan Kegemilangan Bola Sepak Malaysia di Dewan Utusan Melayu di sini hari ini.

Bakri yang juga salah seorang anggota skuad kebangsaan yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 berkata, untuk membentuk pemain berkualiti, jurulatih terlebih dahulu perlu mempunyai ilmu dan pengetahuan khususnya dari aspek teknik dan skil.

Beliau juga pada masa sama menegaskan, selagi negara tidak dapat `ulama’ bola sepak, selagi itulah harapan mengembalikan kegemilangan sukan tersebut tidak akan dicapai.

“Bakat sahaja tidak akan ke mana-mana kalau tiada jurulatih yang betul untuk membimbing dan menyerlahkan sepenuhnya potensi pemain. Ini bermakna selagi kita tidak hasilkan jurulatih yang berkualiti, kita tidak akan ke mana.

“Ketika ini, mentaliti jurulatih yang kita ada rendah. Bakat Allah yang beri, tetapi peranan jurulatih ialah `melahirkan’ pemain, tanpa jurulatih yang berkualiti, bagaimana mahu bentuk pemain seperti Supermokh (Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari), tidak boleh,” katanya.

Penganjuran forum hasil inisiatif Kumpulan Utusan itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pe­ngarang kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak; timbalannya, Datuk Othman Mohamad dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Selain Kumpulan Utusan sebagai penganjur, forum tersebut turut ditaja oleh Atroxene~gel sendi & otot, AirAsia, Milo, McDonald’s dan Sports Direct.com.

Dalam pada itu, Reduan pula berpandangan, pembangunan pemain daripada peringkat akar umbi perlu diberikan perhatian serius oleh persatuan dan juga kerajaan memandangkan ketika ini negara ketandusan pemain berkualiti, jauh sekali menyamai kehebatan Allahyarham Mokhtar.

Beliau yang juga jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) juga percaya masih banyak kekurangan dari aspek melahirkan serta membentuk bakat pemain muda daripada sistem sedia ada dan perkara itu perlu diperbaiki segera.

“Selepas pemain keluar daripada SSBJ, mereka akan ke pasukan negeri atau pun kelab, ketika itu mereka berumur lingkungan 19 tahun. Tetapi mereka tidak terus diberi peluang masuk ke pasukan utama sebaliknya bermain dengan skuad bawah 21 tahun.

“Kemudiannya terpaksa bermain di bawah kendalian jurulatih yang masih dengan taktikal lama antaranya disuruh bermain hantaran jauh. Ini bercanggah dengan apa yang mereka pelajari di SSBJ. Akhirnya prestasi mereka tidak ke mana,” jelas Reduan yang bermain bersama Mokhtar untuk Selangor dan skuad kebangsaan pada era 70-an dan awal 80-an.

Bagi Abdullah pula, beliau menekankan pentingnya semua pihak termasuk kerajaan membantu FAM dan persatuan bola sepak negeri dalam usaha mengembalikan semula kegemilangan bola sepak.

“Kita perlukan perubahan, khususnya daripada standard, kualiti jurulatih dan pemain kita. Di Malaysia ketika ini yang profesional hanya gaji pemain, yang lain sangkut antaranya akibat kekurangan dana.

“Bagi kepemimpinan FAM yang ada sekarang, mereka perlu mele­takkan sasaran. Sekurang-kurang­nya dalam tempoh empat tahun lagi pasukan negara akan melangkah ke Sukan Olimpik,” ujar beliau.