Sepanyol pula mengharungi detik mencemaskan apabila tumbang 0-1 kepada Scotland di Stadium De Adelaarshorst, Deventer, namun masih bernasib baik mampu mara ke suku akhir.

England, yang tidak pernah menjulang trofi Eropah dan muncul naib juara dua kali pada 2009 dan 1984 kini akan menentang Perancis pada Ahad ini (2.45 pagi Isnin waktu Malaysia), manakala Sepanyol bakal berdepan Austria (12 tengah malam Isnin waktu Malaysia).

Dalam aksi di Stadium Ko­ning Willem II, Tilburg, Duggan meletakkan England di depan seawal minit ketujuh selepas menghukum kesilapan penjaga gol Portugal, Patricia Morais yang menyepak bola ke arahnya.

Carolina Mendes menyamakan kedudukan buat Portugal 10 minit berselang tetapi Parris memastikan kemenangan milik England hanya tiga minit selepas separuh masa kedua bersambung.

“Kami berjaya muncul juara kumpulan dengan tiga kemenangan menentang tiga pasukan yang amat mencabar. Kami menjaringkan 10 gol dan hanya dibolosi sekali, tiada sesiapa berjaya menyaingi pencapaian itu.

“Kami berada di kedudukan yang kami mahukan dan kini berada pada prestasi terbaik,” kata jurulatih England, Mark Sampson.

Sementara itu, di Deventer, jaringan Caroline Weir pada minit ke-41 menghadiahkan kemenangan pertama buat pendatang baharu Euro, Scotland.

Kemenangan tersebut bagaimanapun tidak cukup untuk membawa mereka ke suku akhir selepas menduduki tangga ketiga Kumpulan D ekoran dua kekalahan yang dialami sebelum ini.